Rezeki Anugerah Pilihan Pembaca Berita Harian

Khamis, 29 Mei 2008


27 Mei, Kuala Lumpur: Suasana meriah diterangi lampu dewan yang memancar cerah serta hiasan pentas utama yang nampak realistik dan mewah meraikan keceriaan wajah pemenang empat kategori Anugerah Pilihan Pembaca Berita Harian dianjurkan Kedai Buku Popular di Dewan 1, Kuala Lumpur Convention Centre baru-baru ini.

Hampir dua bulan proses mengundi dilaksanakan menggunakan borang di akhbar Berita Harian, pembaca mengundi penulis pilihan mereka menggunakan borang itu. Ia memberi debaran yang kuat kepada bakal pemenang pada hari bagi mengetahui anugerah bagi setiap kategori itu.

Umum sedia maklum, terdapat dua kategori Bahasa Melayu iaitu fiksyen dan bukan fiksyen. Bakal pemenang pada hari itu, duduk sebaris di barisan kerusi paling hadapan. Mereka juga dimasyhurkan dengan persembahan skrin yang memaparkan buku-buku yang dipertandingkan beserta wajah-wajah mereka tersenyum riang. Pasti keadaan itu membanggakan diri penulis dan penerbit melihat hasil masing-masing menjadi pilihan bagi anugerah itu.

Bagi kategori bukan fiksyen buku Kuasa Hijrah Kuasa untuk Berubah tulisan bersama Dato` Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah dan Ahmad Fadzli Yusof. Buku terbitan PTS Millennia Sdn Bhd ini mengungguli tempat pertama dan membawa pulang wang tunai RM1,000 dan trofi. Manakala tempat kedua dan ketiga membawa pulang wang tunai RM300. Bagi tempat kedua dimenangi buku terbitan Telaga Biru Jangan Main-Main dan buku terbitan PTS Millennia Sdn Bhd tulisan Dato` Dr Haron Din, Menjawab Persoalan Fikah Harian meraih tempat ketiga.

Bagi kategori fiksyen, tempat ketiga dimenangi buku Murni Kasih tulisan Norhayati Berahim terbitan NB Kara, tempat kedua buku terbitan Alaf 21, Buatmu Kekasih oleh Aisya Sofea dan hasil nukilan Bayangan Rindu oleh Anis Ayuni terbitan Alaf 21 meraih tempat pertama. Pemenang menerima wang tunai RM1,000 beserta trofi dan tempat kedua dan ketiga memperoleh wang tunai RM300.

Menteri Pengangkutan Y.B Datuk Ong Tee Keat menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang dan juga merasmikan anugerah itu menyokong anjuran anugerah itu dan gembira dapat meraikan anugerah yang julung kali diadakan. Puan Salbiah Ani Ketua Pengarang, Sastera Berita Harian, turut menemani beliau semasa sesi menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Penerbit, penulis, pembaca buku dan kedai buku menyambut baik anugerah ini dan mendapat sokongan yang padu pada hari itu. Penulis PTS yang dicalonkan bagi kategori bukan fiksyen membariskan lapan penulis yang tercalon pada hari itu. Majlis pada hari itu dihadiri Dr.Tengku Asmadi Tengku Mohamad, penulis buku Motivasi Alihan Pelajar, Ammar Mahmood, Rahsia Minda Jutawan, Ann Wan Seng, Rahsia Bisnes Orang Cina, Sunthara Segar, Rahsia Melabur dalam Unit Amanah, penulis Dato` Dr Haron Din dan Dr. Danial Zainal Abidin tidak dapat hadir dan menghantar wakil bagi majlis itu. Masing-masing melahirkan rasa gembira dapat meraikan anugerah itu dan tercalon antara pilihan pembaca itu. Semangat yang ditunjukkan mereka adalah menjadi kebanggaan kepada PTS di atas hasil tulisan dan karya yang bermutu hasil kerjasama antara penulis dan PTS.

Selain menerima ganjaran hasil usaha masing-masing, acara itu juga menjadi medan untuk penulis beramah mesra dengan peminat penerbit, penulis dan pembaca yang selama ini menyokong kerjaya menulis mereka. Mereka juga berpeluang bergambar dan berbual bersama.

Anjuran kali pertama ini dan akan disambungkan pada tahun-tahun berikutnya diharap dikembangkan kepada kategori-kategori yang baru dan ia akan lebih merancakkan industri buku di Malaysia. Tahniah kepada pemenang penerbit dan Kedai Buku Popular.

Wartawan Nazmi Yaakub melaporkan di Berita Harian. Klik bagi bacaan lanjut.

0 ulasan: