PTS Bersama Media Tempatan

Rabu, 6 Mei 2009

Paparan di media semasa pesta buku antarabangsa mendapat liputan daripada media tempatan yang mempunyai pengaruh dan identiti tersendiri. Pelbagai pihak, tertanya-tanya bagaimana publisiti PTS di media begitu berleluasa. Terdengar-dengar pada telinga saya, ramai yang bertanya semasa pesta buku dan sepanjang saya menggalas tanggungjawab mengurus promosi buku dan penulis di media.

Pada tahun ini, perancangan saya mendapatkan liputan media bagi pesta buku sedari awal tahun lagi. Apa yang dilakukan adalah sering berjumpa mereka, membawa buku, menghantar SMS, beramah mesra dan pada masa yang sama menjaga tahap profesional bersama mereka. Konsep mesra media perlu diutamakan.

Industri buku juga sehebat industri hiburan jika pandai memancing perhatian media. Saya selalu melihat dan mendengar perbincangan pengarang hiburan, akhbar tabloid paling popular di Malaysia. Beliau menegaskan artis perlu mesra media, antaranya yang sering diungkapkan. Mereka tidak kisah jika ada artis yang dalam seminggu dua ataupun tiga kali datang ke pejabat mereka. Juga jangan hanya muncul apabila baru bergelar artis, kemudian apabila sudah popular mula tunjuk belang dan bersifat dingin kepada media.

Kaitan dengan industri buku, saya kadangkala tersenyum apabila ada berkata. "Orang PTS dah datang...." Usikan mesra itu sering terucap apabila saya ke pejabat media seperti TV, akhbar dan majalah. Walaupun kekerapan saya ke sana adalah dua kali sebulan, namun penerimaan mereka begitu menyeronokkan. Mungkin selepas ini saya mahu pergi seminggu sekali. Ada yang hantar banyak buku sebulan sekali tanpa beramah mesra dengan mereka. Namun bagi jangka panjang liputan di media akan menyebabkan mereka berkira-kira mahu menghadiri majlis yang diadakan.

Namun hubungan profesional dan mesra dengan media perlu diutamakan dan mereka juga manusia yang punya hati dan perasaan. Terima kasih kepada akhbar Utusan Malaysia bahagian Agama dan Rencana, Berita Harian bahagian Sastera dan Agama, Harian Metro bahagian Rencana, Radio IKIM.fm & KL.fm, SPM, TV1, MHI, TV3, Nasi Lemak Kopi O, TV9, Helo Malaysia, ASTRO 502, dan majalah terbitan Utusan Karya, Berita Publishing dan Disney Princess.

Sebenarnya banyak lagi yang mahu ditulis, namun perlu berehat sejenak. Bayangkan handphone anda masih mendapat SMS dan panggilan media selepas bercuti penat pesta buku. Macam-macam peluang pula masuk selepas pesta buku dan makin laju. Bagaimana ia berlaku?

0 ulasan: